Impian pasangan penyanyi popular Asmawi Ani, 28, dan Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin, 30, untuk menimang cahaya mata sulung dalam masa terdekat berkecai selepas Ekin keguguran anak pertama mereka. Pasangan yang bernikah pada 21 Disember 2008 itu dikatakan tidak menyedari tentang kehadiran ‘orang ketiga’ tersebut sebelum Ekin mengalami keguguran.
“Ya, saya keguguran kandungan pertama selepas pulang daripada berbulan madu di Korea bulan lalu,” ujar Ekin ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Keguguran tersebut berlaku pada awal Februari lalu selepas Ekin mengalami pendarahan selama dua minggu tanpa henti. Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, Mawi membawa Ekin ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.
“Bila pergi ke klinik, barulah saya tahu saya mengandung. Darah yang keluar itu bukan darah haid seperti yang saya sangkakan, tapi darah janin yang baru nak jadi.
“Menurut doktor, keguguran terjadi kerana saya terlalu aktif dan barangkali berpunca daripada tekanan menaiki kapal terbang sewaktu pulang dari Korea, beberapa hari sebelum itu,” cerita Ekin lagi.
Beritahu anak kelahiran Johor Bahru itu lagi, sewaktu keguguran, kandungannya baru berusia antara dua hingga tiga minggu. “Saya pun tak tahu saya mengandung. Jadi saya menjalani aktiviti harian saya seperti biasa. Doktor kata, antara sebab saya keguguran adalah kerana terlalu aktif,” jelas beliau.
Sementara itu, Mawi ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, keguguran yang dialami isterinya bukan alasan untuk mereka tidak mempunyai anak. Beliau berdoa untuk mempunyai cahaya mata secepat mungkin.
“Saya kecewa dan sedih tetapi reda… sudah tak ada rezeki. Ada hikmah yang Tuhan selitkan di sebalik keguguran isteri saya.